Skyline Luge Kuala Lumpur menyasarkan kehadiran antara 400,000 hingga 500,000 pengunjung pada tahun depan, selaras dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengurus Besarnya, Logan Chandler, berkata matlamat utama bukan sekadar memperkenalkan tarikan baharu, tetapi mencipta tempat di mana keluarga boleh berseronok dan berkongsi kenangan bersama.

“Sejak dibuka pada Disember 2023, kami telah menerima lebih dua juta pengunjung dalam tempoh kurang dua tahun. Ia satu pencapaian luar biasa hasil kerjasama rakan kongsi, pasukan berdedikasi dan sokongan pelawat dari seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Skyline Hyfly (Hyfly), aktiviti zipline pertama seumpamanya di Asia yang diadakan di Skyline Luge Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Mike Walsh, serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sivasuriyamoorthy Sundara Raja.
Logan menegaskan, kehadiran mereka mencerminkan peranan penting sektor pelancongan yang terus berkembang di peringkat negeri dan negara.
“Selangor menerusi Tahun Melawat Selangor 2025, dan Malaysia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, terus memperkukuh daya tarikannya. Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” ujarnya.
Beliau berkata, pelancaran Skyline Hyfly membawa pengalaman pengembaraan ke tahap baharu dengan reka bentuk yang unik.
“Hyfly bukan zipline lurus seperti biasa. Penunggang akan melalui laluan sepanjang 380 meter yang beralih dari kabel ke rel, membolehkan mereka berpusing di udara sebelum menamatkan pengalaman dengan lompatan bebas setinggi 15 meter atau turun menggunakan tangga.
Ia juga menawarkan pelancaran berkembar untuk dua penunggang serentak menjadikannya lebih sosial dan menyeronokkan,” katanya.
Logan menambah, pelancaran Hyfly menandakan komitmen Skyline Luge untuk terus memperkukuh pelancongan berasaskan pengalaman di Malaysia.
“Kami mahu menjadikan Skyline Luge Kuala Lumpur sebagai mercu tanda pengembaraan di rantau ini. Fokus kami kekal pada inovasi dan pengalaman luar biasa untuk setiap pengunjung,” katanya.
Sumber: Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?