Sebuah klip video pendek yang dimuat naik oleh anggota pasukan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, secara tidak langsung telah menjadikan infrastruktur Malaysia tular di peringkat antarabangsa.
Rakaman berdurasi 13 saat itu memaparkan konvoi rasmi Presiden AS bergerak di atas Lebuh Raya Maju (MEX) menuju ke Kuala Lumpur, dan kini telah meraih lebih 2 juta tontonan di platform X.
Video tersebut dikongsi oleh Margo Martin, Penolong Khas dan Penasihat Komunikasi kepada Trump, dengan kapsyen “President Trump’s motorcade through Malaysia en route to the Asean Summit.”
Klip yang ringkas namun menarik itu menunjukkan barisan kenderaan hitam mewah meluncur lancar di atas lebuh raya yang dipenuhi pepohon hijau — satu pemandangan yang memukau penonton dari seluruh dunia.
Trump singgah di Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, sebelum meneruskan lawatan ke Jepun dan Korea Selatan bagi menghadiri APEC Economic Leaders’ Week 2025 di Gyeongju.
Sejurus video itu dimuat naik, ramai pengguna media sosial luar negara meluahkan kekaguman terhadap keindahan dan kecekapan sistem lebuh raya Malaysia.
Antara komen yang mencuri perhatian termasuk,
“Nampak macam babak pembukaan filem Independence Day!” – Mike Kearney, Pennsylvania, AS
“Konvoi tu macam Fast & Furious: Presidential Drift,” – Shubham Singh Gaur, India
Seorang lagi pengguna dari AS, Neesie, menulis:
“Kalau dia menuju ke Kuala Lumpur dari lapangan terbang, mesti nampak deretan pokok kelapa sawit. Banyak betul, sampai tak nampak penghujungnya!”
Dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri, ramai yang turut menzahirkan rasa bangga terhadap kemudahan infrastruktur tempatan.
“Konvoi hebat, pemandangan pun cantik — bangga jadi rakyat Malaysia,” tulis seorang pengguna tempatan.
Lebuh Raya Maju (MEX) yang mula beroperasi sejak 13 Disember 2007 sepanjang 26 kilometer, menghubungkan Kuala Lumpur dengan Putrajaya, Cyberjaya, dan KLIA. Direka untuk memastikan aliran trafik yang lancar dan efisien, ia menjadi laluan pilihan ramai pengguna harian di Lembah Klang.
Bagi kebanyakan rakyat tempatan, lebuh raya ini mungkin sekadar laluan biasa untuk ke tempat kerja. Namun, rakaman tular daripada Margo Martin ini menjadi peringatan betapa indah dan moden sebenarnya infrastruktur negara, sesuatu yang sering diambil ringan oleh pengguna tempatan sendiri. – Bernama
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?