NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Perkhidmatan KTM Komuter Laluan Pelabuhan Klang–KL Sentral–Tanjung Malim Kembali Pulih

Perkhidmatan KTM Komuter Laluan Pelabuhan Klang–KL Sentral–Tanjung Malim Kembali Pulih

Perkhidmatan tren KTM Komuter bagi laluan Pelabuhan Klang–KL Sentral–Tanjung Malim kembali beroperasi sepenuhnya bermula pukul 6 pagi hari ini selepas kerja baik pulih kerosakan alat talian atas di antara Stesen Subang Jaya dan Batu Tiga selesai dilaksanakan lewat malam tadi.

Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), kerosakan yang menyebabkan kelewatan perjalanan melebihi 60 minit itu berjaya diperbaiki sepenuhnya pada pukul 11.10 malam.

“Kerja baik pulih selesai lebih awal daripada jangkaan dan perkhidmatan tren kini kembali beroperasi seperti biasa,” kata kenyataan itu.

KTMB turut menzahirkan penghargaan kepada para penumpang atas kesabaran, kerjasama dan kefahaman mereka sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan semalam.

Syarikat itu menegaskan pihaknya akan terus komited dalam usaha menambah baik mutu perkhidmatan demi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna.

Terdahulu, KTMB memaklumkan bahawa gangguan perkhidmatan yang berlaku antara Stesen Batu Tiga dan Subang Jaya pada sekitar pukul 8.30 pagi semalam berpunca daripada alat talian atas yang terputus.

Ekoran kejadian itu, beberapa tren bagi laluan Pelabuhan Klang–Tanjung Malim terpaksa menamatkan perjalanan di Stesen Shah Alam, Batu Tiga dan Padang Jawa, manakala penumpang disediakan perkhidmatan bas perantara ke Stesen Subang Jaya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Sumber: KOSMO

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy