RTS Link Sedia Jalani Ujian Fasa Pertama Disember Ini Tanpa Penumpang – Loke

RTS Link Sedia Jalani Ujian Fasa Pertama Disember Ini Tanpa Penumpang – Loke

Ujian fasa pertama bagi projek tren Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru–Singapura dijangka bermula Disember ini tanpa melibatkan penumpang, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau memaklumkan bahawa tren RTS pertama dijangka tiba di Depoh Wadi Hana menjelang pertengahan bulan ini.

“Dalam tempoh dua minggu lagi, tren pertama akan dihantar ke depoh. Jika semuanya mengikut jadual, orang ramai berpeluang melihat tren ini beroperasi pada Disember semasa fasa pertama ujian.

“Namun, tren itu belum dibuka kepada orang awam kerana masih ada beberapa proses penting perlu dijalankan, termasuk integrasi sistem dan ujian keselamatan sebelum operasi penuh dimulakan,” katanya selepas melakukan lawatan ke tapak projek RTS Link di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Chagar.

Loke turut memaklumkan bahawa struktur utama bagi Stesen Bukit Chagar dan bangunan CIQ telah siap sepenuhnya.

“Tiga komponen utama projek ini menunjukkan kemajuan positif — Depoh RTS Link kini 90 peratus siap, Stesen Bukit Chagar 73 peratus, dan Kompleks CIQ 76.8 peratus,” katanya.

Projek RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands North, Singapura masih disasarkan untuk siap menjelang 31 Disember 2026 dan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027.

“Projek ini melibatkan kerjasama dua negara dan sangat kompleks. Saya akan memantau perkembangannya setiap tiga bulan bagi memastikan segala cabaran dapat ditangani dengan berkesan,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RTS Operations Pte Ltd (RTSO), Dr Ahmad Marzuki Ariffin, berkata kerja-kerja sistem dan operasi kini telah mencapai 65 peratus dan berada di landasan yang tepat.

Katanya, tren pertama akan dibawa dari landasan ujian rel Singapura, manakala tiga lagi set tren yang kini berada di Batu Gajah akan dihantar ke Depoh RTS Johor Bahru menjelang akhir bulan ini.

“Secara keseluruhan, projek ini melibatkan lapan set tren dengan empat gerabak setiap satu. Projek berjalan lancar hasil kerjasama rapat antara kerajaan Malaysia dan Singapura,” katanya.

Beliau menambah bahawa ujian tanpa gangguan (fault-free test) dijangka dijalankan pada Julai 2026, diikuti ujian integrasi penuh sistem menjelang akhir tahun tersebut.

“Tempoh antara Julai hingga Disember 2026 akan menjadi fasa paling kritikal, melibatkan pelbagai agensi termasuk kastam, imigresen dan keselamatan dari kedua-dua negara,” jelasnya. – Bernama

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD