NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Pemandu Lori Kantoi Bawa Muatan Berat Tanpa Lesen, Ditahan Dalam Ops Penyamaran JPJ Selangor

Pemandu Lori Kantoi Bawa Muatan Berat Tanpa Lesen, Ditahan Dalam Ops Penyamaran JPJ Selangor

Seorang pemandu lori ditahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor selepas didapati memandu tanpa lesen sah dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dalam Ops Penyamaran di Lebuhraya Grand Sepadu, Klang, pada Isnin lalu.

Menurut Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, siasatan mendapati pemandu lori jenis low loader itu bukan sahaja tidak memiliki GDL, malah juga tidak mempunyai Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah.

“Lebih membimbangkan, lori tersebut membawa muatan berisiko tinggi iaitu rolled steel coil, yang boleh tergelincir atau jatuh jika tidak diikat dengan betul. Tanpa lesen dan kelayakan sah, risiko kemalangan amat tinggi serta boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Selangor, Selasa.

Susulan penahanan itu, JPJ telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), dan akan memohon kepada mahkamah untuk melucut hak lori terbabit mengikut Seksyen 80 akta sama.

Azrin menegaskan tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini jelas melanggar undang-undang dan menunjukkan kegagalan pihak pengendali memastikan keselamatan pemandu serta pengguna jalan raya lain.

“Masih ada pengendali yang membenarkan individu tanpa lesen sah mengendalikan kenderaan berat. Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga membahayakan nyawa orang lain. JPJ tidak akan berkompromi dengan sikap cuai seperti ini,” tegasnya. – Sinar Harian

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy