Tol Diskaun 50 Peratus Selama Dua Hari Sempena Sambutan Krismas

Tol Diskaun 50 Peratus Selama Dua Hari Sempena Sambutan Krismas

Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus kepada pengguna lebuh raya di seluruh negara selama dua hari, bermula 23 hingga 24 Disember 2025, bersempena sambutan Hari Krismas yang bakal diraikan pada Khamis ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif itu mencerminkan semangat perpaduan Malaysia Madani selain membantu meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya mereka yang merancang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga sempena musim perayaan dan cuti sekolah.

Menurut beliau, diskaun berkenaan melibatkan kenderaan Kelas 1 di semua plaza tol, termasuk kenderaan Kelas 2 bagi laluan Jambatan Pulau Pinang. Namun, pengecualian diberikan kepada plaza tol di pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Antara plaza tol yang tidak terlibat ialah Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) serta Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi tujuan pembayaran pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat sepanjang tempoh pelaksanaan diskaun tersebut.

Dalam masa sama, pemilihan tarikh 23 dan 24 Disember dibuat sebagai langkah penyuraian trafik bagi mengurangkan kesesakan lebuh raya ketika waktu puncak perjalanan, terutamanya aliran balik ke kampung halaman dan pergerakan kembali ke bandar selepas cuti.

“Langkah ini juga membantu mengoptimumkan pengoperasian kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya,” jelasnya.

Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menyarankan pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal dengan memanfaatkan aplikasi TuJu Highway Navigation App LLM dan MyPLUS-TTA bagi mendapatkan maklumat trafik terkini.

Pengguna turut diingatkan supaya mematuhi jadual perjalanan yang disyorkan serta sentiasa mengutamakan keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan lalu lintas sepanjang perjalanan.

Sumber: KOSMO

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD