Kemalangan Maut Di Sarawak Terus Meningkat, Jalan Persekutuan Kekal Paling Merbahaya

Kemalangan Maut Di Sarawak Terus Meningkat, Jalan Persekutuan Kekal Paling Merbahaya

KUCHING – Jalan Persekutuan dikenal pasti sebagai laluan paling berisiko di Sarawak apabila merekodkan jumlah kemalangan maut tertinggi sepanjang tahun ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Safullizan Ishak berkata, sebanyak 125 kes kemalangan maut dicatatkan di Jalan Persekutuan bagi tempoh Januari hingga November, meningkat berbanding 104 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, secara keseluruhan, Sarawak merekodkan 348 kes kemalangan maut dalam tempoh berkenaan, iaitu peningkatan 19 kes berbanding 329 kes yang direkodkan pada tahun 2024.

“Bagi Jalan Negeri pula, sebanyak 93 kes kemalangan maut direkodkan dan ia menunjukkan penurunan berbanding 114 kes tahun lalu.

“Namun, kemalangan maut di Jalan Bandaran mencatatkan peningkatan kepada 80 kes berbanding 76 kes sebelum ini, manakala kategori jalan lain turut meningkat daripada 35 kes kepada 50 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Meet and Greet Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Krismas di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kempen tersebut, Safullizan memaklumkan lebih 700 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai jabatan dan cawangan digerakkan sepanjang tempoh kempen yang berlangsung dari 23 hingga 28 Disember.

Beliau turut mendedahkan, sempena perayaan Krismas tahun lalu, sebanyak 13 kes kemalangan maut direkodkan, meningkat satu kes berbanding 12 kes pada perayaan Krismas 2023.

“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kemalangan semasa musim Krismas tahun lalu menunjukkan penurunan apabila 327 kes direkodkan, iaitu 62 kes lebih rendah berbanding 389 kes pada tahun sebelumnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Safullizan berkata, pihak polis turut bersiap siaga menghadapi kemungkinan bencana banjir susulan Monsun Timur Laut sepanjang tempoh kempen berkenaan.

“Walaupun tumpuan diberikan kepada keselamatan jalan raya sempena musim perayaan, kami tetap bersedia menggerakkan anggota bagi menangani sebarang situasi kecemasan berkaitan bencana alam,” katanya.

Sumber: KOSMO

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD