Seorang lelaki warga emas dikenakan denda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan yang bukan milik keretanya, dipercayai bagi membolehkan pengisian petrol bersubsidi RON95.
Tertuduh, Long Sa Kow, 64, seorang pemastautin tetap Singapura, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret R. Salini.
Mengikut pertuduhan, Sa Kow didakwa sebagai pemandu sebuah Volkswagen Jetta kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu yang tidak sepadan dengan kenderaan tersebut di sebuah stesen minyak di Batu 21 1/4, Jalan Johor Bahru–Air Hitam, kira-kira jam 10.30 malam pada 2 Januari lalu.
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 hingga maksimum RM20,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli.

Dalam rayuannya, pihak pembelaan memohon hukuman denda minimum dengan alasan tertuduh merupakan pesara tanpa pendapatan tetap serta menanggung isteri dan tiga orang anak, termasuk dua yang masih bersekolah. Sharmaine turut memaklumkan bahawa ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan beliau berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman yang bersifat pencegahan dan pengajaran, memandangkan perbuatan tertuduh dilakukan dengan niat untuk mengelirukan pihak berkuasa serta menikmati keistimewaan rakyat Malaysia, termasuk penggunaan petrol bersubsidi RON95.
Menurut fakta kes, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai mengesan satu video tular di Facebook pada 4 Januari lalu yang memaparkan sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak dengan nombor pendaftaran LJ 8967 sedang mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di daerah ini.
Siasatan mendapati kenderaan itu sebenarnya didaftarkan dengan nombor pendaftaran SLJ 8967 M, namun tertuduh telah menutup huruf ‘S’ dan ‘M’ pada plat nombor bagi menyerupai kenderaan tempatan.
Pemeriksaan lanjut terhadap nombor enjin dan casis mengesahkan nombor pendaftaran sebenar kenderaan tersebut, sekali gus membuktikan kesalahan tertuduh.
Sebelum itu, satu rakaman video berdurasi kira-kira satu minit 30 saat tular di media sosial pada 3 Januari, memaparkan tindakan seorang pemandu kenderaan berdaftar di Singapura yang disyaki menggunakan taktik menutup sebahagian nombor pendaftaran untuk mengisi petrol bersubsidi di Malaysia.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?