MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan cuti khas sempena 1 Ramadan bagi semua penjawat awam negeri ini, yang dijangka jatuh pada 19 Februari depan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pemberian cuti khas itu sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan penjawat awam yang telah bertungkus-lumus melaksanakan pelbagai program serta agenda kerajaan negeri sepanjang tahun 2025.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa peka terhadap cabaran yang dihadapi penjawat awam, termasuk keperluan bekerja tanpa mengira waktu, berdepan pelbagai situasi serta terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga demi memastikan kelancaran urusan pentadbiran dan pelaksanaan program negeri.
“Pengorbanan ini amat kami hargai. Ada juga luahan yang diterima, termasuk di media sosial, yang menggambarkan betapa besarnya komitmen penjawat awam negeri Melaka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.
Beliau berharap cuti khas tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penjawat awam untuk membuat persiapan menyambut bulan Ramadan serta meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Datuk Seri Ab. Rauf berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.
Susulan pengumuman itu, Melaka dijangka menikmati enam hari cuti berturut-turut bermula sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 dan 18 Februari, diikuti cuti khas 1 Ramadan pada 19 Februari, Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari, serta cuti hujung minggu pada 21 dan 22 Februari.
Sumber: KOSMO
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
5 Kereta Bawah RM100k Yang Paling Sedap Dibawa “Road Trip” Jauh