NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Paip Bawah Tanah Pecah Dipercayai Punca Gelinciran Tanah Di Jalan Saga 17

Paip Bawah Tanah Pecah Dipercayai Punca Gelinciran Tanah Di Jalan Saga 17

AMPANG JAYA – Kejadian gelinciran tanah yang dilaporkan berlaku di Jalan Saga 17, Taman Bukit Teratai, di sini pada pagi semalam dipercayai berpunca daripada kerosakan paip saliran bawah tanah.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan, Timbalan Yang Dipertuanya, Ts Hasrolnizam Shaari telah turun ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan serta memastikan tindakan segera diambil.

Menurut MPAJ, hasil pemeriksaan awal yang dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan mendapati terdapat kemungkinan saliran paip milik Indah Water Konsortium (IWK) telah pecah, sekali gus mencetuskan pergerakan tanah di kawasan terbabit.

“Susulan kejadian itu, sebuah kenderaan yang terlibat telah dialihkan oleh Jabatan Penguatkuasaan MPAJ bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap keselamatan orang awam.

“Kawasan terjejas turut ditutup sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan serta pemantauan lanjut dilaksanakan,” menurut kenyataan itu hari ini.

MPAJ turut mengarahkan semua kenderaan yang diparkir di sepanjang laluan berhampiran supaya dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Tambah kenyataan tersebut, pihak berkuasa tempatan itu akan terus memantau perkembangan situasi dan mengambil tindakan sewajarnya demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat.

Terdahulu, media melaporkan kejadian tanah runtuh setinggi kira-kira 20 kaki berlaku di kawasan berkenaan semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.19 pagi.

Sumber: KOSMO

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy