KUALA LUMPUR: PROTON memulakan tahun 2026 dengan langkah kanan apabila merekodkan jualan sebanyak 19,833 unit pada Januari, sekali gus menjadi pencapaian jualan bulanan tertinggi syarikat itu dalam tempoh 15 tahun.
Prestasi tersebut menunjukkan peningkatan ketara 35.3 peratus berbanding Disember 2025, selain hampir dua kali ganda berbanding 9,918 unit yang dicatatkan pada Januari tahun sebelumnya.
Dalam tempoh sama, Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan berkembang 28.3 peratus tahun ke tahun, walaupun mencatat penurunan sekitar 28.6 peratus berbanding paras tertinggi industri pada Disember 2025.
Berdasarkan anggaran awal, pegangan pasaran PROTON mencapai 30.6 peratus, tertinggi sejak Januari 2012. Pencapaian ini memberi petanda positif terhadap sasaran syarikat untuk menjual 200,000 unit kenderaan sepanjang tahun 2026.
Prestasi cemerlang jualan bulan Januari banyak disumbangkan oleh kejayaan Proton Saga 2026, yang merekodkan jualan bulanan tertinggi dalam sejarah model tersebut.
Sebanyak 10,285 unit Proton Saga 2026 terjual pada Januari sahaja, menjadikan lebih 19,000 unit diserahkan kepada pelanggan sejak pelancarannya pada 27 November 2025 — bersamaan satu kenderaan dihantar setiap lima minit. Dengan hampir 100,000 tempahan direkodkan setakat ini, Saga 2026 dijangka kekal sebagai tulang belakang jualan PROTON dalam tempoh terdekat.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Rashid Musa, berkata prestasi memberangsangkan Saga 2026 membuktikan kekuatan jenama tersebut dalam pasaran automotif tempatan.
Menurut beliau, tidak banyak model automotif yang mampu bertahan lebih empat dekad dan masih mencipta rekod jualan baharu.
“Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan buat PROTON dan juga rakyat Malaysia. Dengan pelancaran di Brunei pada Februari serta peluasan ke pasaran antarabangsa lain, kami menjangkakan lebih banyak kejayaan bakal dicapai oleh Saga tahun ini,” katanya.
Selain Saga, barisan SUV siri X dan sedan siri S PROTON turut mencatat pertumbuhan jualan positif pada permulaan 2026.
Proton X50 merekodkan 2,429 unit jualan pada Januari, meningkat 69.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala Proton X70 mencatat 672 unit, naik 16.5 peratus.
Model sedan Proton S70 pula mencatat prestasi terbaik sejak Mei 2025 dengan 1,604 unit terjual, meningkat 40.3 peratus, mencerminkan penerimaan baik terhadap reka bentuk dan ciri berorientasikan prestasi.
Sementara itu, model perdana Proton X90 turut menunjukkan pertumbuhan dengan 252 unit terjual, peningkatan 24.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Abdul Rashid menambah, prestasi awal 2026 membuktikan keberkesanan strategi PROTON dalam memperbaharui barisan produk, termasuk penawaran kenderaan ICE dan EV, serta pendekatan komunikasi teknologi yang lebih jelas kepada pengguna.
“PROTON akan terus memperkukuh kehadiran pasaran dan meningkatkan aktiviti pengeluaran tempatan bagi memastikan pelanggan memperoleh kenderaan berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif,” katanya.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?