Seorang pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan disahkan maut akibat kecederaan parah di bahagian leher selepas terkena sabit berhulu panjang di Teluk Intan semalam.
Kejadian yang berlaku pada Isnin itu berpunca apabila motosikal yang dinaiki mangsa, Adham Faisal, 17 berselisih dengan sebuah lagi motosikal yang membawa peralatan tajam berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin, hasil siasatan awal mendapati sabit yang dibawa oleh seorang lelaki warga asing telah terkena tepat pada leher mangsa ketika kedua-dua kenderaan tersebut berada dalam jarak yang sangat rapat.
“Ketika kejadian, motosikal dinaiki mangsa serta motosikal dinaiki lelaki membawa sabit berkenaan saling berhampiran antara satu sama lain di atas jalan. Mangsa terjatuh atas jalan akibat terkena sabit itu,” jelas Bakri dalam satu kenyataan rasmi malam tadi.
Susulan insiden tersebut, pihak polis telah bertindak pantas menahan dua lelaki warga asing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan lanjut. Beberapa barangan bukti termasuk sebilah sabit berhulu panjang dan motosikal yang terlibat turut dirampas.
Rakan mangsa yang berusia 18 tahun, yang turut berada di atas motosikal yang sama, dilaporkan hanya mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kini sedang menerima rawatan.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kecuaian yang membawa kepada kehilangan nyawa remaja tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat, dengan kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut,” tambah beliau lagi.
Sebelum ini, berita mengenai kejadian malang ini telah tular di media sosial dengan dakwaan bahawa mangsa maut akibat terkena galah sabit sawit yang dibawa tanpa sarung, yang akhirnya disahkan oleh pihak polis sebagai satu kemalangan tragis yang meragut nyawa.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?