Setiap kali menjelang Aidilfitri, industri muzik tanah air pasti meriah dengan pelancaran pelbagai lagu raya baru bagi menghidupkan suasana. Namun, di sebalik lambakan irama rancak di media sosial, timbul persoalan mengenai kualiti karya moden yang dianggap kosong dan tidak mempunyai jiwa.
Peminat muzik kini mula membandingkan antara lagu raya klasik dan lagu raya moden, di mana karya lama dilihat lebih berjaya menyentuh emosi pendengar. Walaupun susunan muziknya ringkas, kekuatan melodi dan lirik yang mendalam menjadikan lagu-lagu lama kekal malar segar merentasi zaman.
Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani, berpendapat sebuah lagu raya yang berkualiti perlu membawa mesej kegembiraan dan kebersamaan. Penggunaan identiti muzik Melayu yang kuat dalam lagu lama adalah faktor utama ia sukar dilupakan.
“Walaupun susunan muzik lagu raya klasik agak ringkas, kesederhanaan itulah yang membolehkan emosi yang lebih mendalam bergema dalam hati pendengar,” jelas beliau mengenai kekuatan nostalgia Aidilfitri.
Senada dengan pandangan itu, penulis lirik tersohor, Dr Azam Dungun, menekankan bahawa melodi yang kuat dan hook yang mudah diingati adalah rahsia utama sesebuah karya menjadi klasik.
“Dengan pendekatan ini, lagu raya tidak sekadar mengikut trend semasa tetapi mampu membina hubungan emosi yang mendalam dan kekal relevan merentas generasi,” kata penulis lirik lagu ‘Nian Di Hati’ ini.
Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, pula mengakui bahawa penghasilan lagu raya zaman sekarang mempunyai cabaran tersendiri, terutama dalam memenuhi tuntutan algoritma media sosial. Generasi kini lebih menyukai muzik yang pantas dan lirik yang terus terang, menyebabkan banyak lagu baru dihasilkan secara terburu-buru.
Walaupun begitu, Fairuz Selamat yang juga bekas vokalis Q-Face, berpendapat genre bukanlah penghalang utama. Baginya, setiap lagu raya harus mempunyai identiti yang kuat untuk menangkap semangat sebenar Aidilfitri.
“Saya tidak kisah jika ia lagu lama atau baru, moden atau klasik, asalkan bila kita tutup mata, kita tahu itu adalah lagu raya,” ulas Fairuz mengenai kriteria sebuah lagu perayaan yang berjaya.
Kesimpulannya, biarpun teknologi berubah, kualiti dan emosi tetap menjadi dacing utama buat pendengar di Malaysia. Lagu raya bukan sekadar muzik, ia adalah memori yang mengikat kita dengan kemeriahan Syawal.
Sumber: Bernama
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?