Kerajaan Australia mengambil langkah drastik dengan memotong separuh cukai bahan api selama tiga bulan bagi meringankan beban pengguna yang kini terhimpit dengan kenaikan mendadak harga petrol susulan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, mengumumkan inisiatif tersebut selepas satu pertemuan khas bersama pemimpin negeri dan wilayah yang bersetuju dengan pelan tindakan bagi menangani isu kekurangan bekalan bahan api di negara tersebut.
Melalui langkah ini, cukai jualan sebanyak 52 sen bagi setiap liter petrol akan dikurangkan separuh dalam tempoh berkenaan, melibatkan kos keseluruhan mencecah AS$1.75 bilion (RM7.04 bilion).
Menurut Albanese, tindakan segera ini diambil kerana kerajaan memahami tekanan ekonomi besar yang sedang dihadapi oleh rakyat Australia ketika ini, walaupun pada masa sama beliau memberi jaminan bahawa proses penghantaran bahan api ke negara itu masih berjalan dengan lancar.
“Kerajaan menjangkakan kos tindakan ini sebanyak AS$1.75 bilion (RM7.04 bilion). Kami menurunkan harga bahan api hari ini kerana memahami tekanan besar yang dihadapi rakyat Australia,” jelas beliau mengenai rasional di sebalik bantuan tersebut.
Isu kekurangan petrol di kawasan luar bandar dilaporkan berpunca daripada pembelian panik serta masalah pengedaran, bukannya gangguan bekalan utama.
Bagi menyokong langkah penjimatan, negeri seperti Victoria dan Tasmania kini menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma.
Namun begitu, Albanese turut menggesa warga kota supaya mengurangkan aktiviti pemanduan bagi membolehkan lebih banyak bekalan bahan api dialihkan ke kawasan luar bandar yang lebih memerlukan.
“Lebih sedikit bahan api digunakan di bandar, lebih banyak boleh dialihkan ke kawasan luar bandar yang sedang menghadapi tekanan,” katanya lagi ketika ditemui pemberita di Canberra.
Data mingguan menunjukkan simpanan petrol Australia masih mencukupi untuk tempoh 39 hari, manakala diesel pula untuk 30 hari.
Selain pemotongan cukai petrol, kerajaan turut mengurangkan kos logistik dengan memotong caj penggunaan jalan bagi kenderaan berat.
Mengikut data Fuel Check, harga purata petrol di New South Wales telah melonjak daripada AU2.48 (RM6.85) semalam, manakala harga diesel kini mencecah AU$3 (RM8.28) seliter.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?