Kerajaan memberi jaminan bahawa buat masa ini, kantung negara masih mampu menampung jumlah subsidi bagi petrol RON95.
Walau bagaimanapun, satu pelarasan dasar yang lebih drastik tidak ditolak sekiranya kos bahan api terus melonjak luar kawalan akibat krisis berlarutan di Asia Barat.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, menegaskan bahawa langkah bersiap siaga ini penting bagi memastikan kestabilan fiskal negara tidak lumpuh, sambil tetap mengimbangi kebajikan rakyat yang kini mula merasai tekanan inflasi.
Bercakap dalam satu majlis di Perak baru-baru ini, beliau mendedahkan fakta mengejutkan mengenai beban kewangan negara. Menurutnya, lonjakan harga minyak mentah dunia telah menyebabkan kos subsidi meningkat berkali ganda, daripada RM700 juta kepada RM4 bilion sebulan, satu angka yang disifatkan sebagai amat besar untuk ditanggung dalam tempoh lama.
“Tiada mana-mana negara di dunia mampu bertahan dengan mengekalkan kaedah ekonomi yang sama sekiranya kos terus meningkat. Kita harus beranjak mengikut keperluan supaya ekonomi secara keseluruhan terus berada dalam keadaan baik,” jelas beliau.
Beliau menambah, keupayaan Malaysia untuk bertahan setakat ini adalah hasil daripada langkah penjimatan dan penstrukturan semula subsidi yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini.
Menjawab persoalan orang ramai mengenai keuntungan Petronas susulan kenaikan harga minyak dunia, Muhammad Kamil menjelaskan bahawa Malaysia tidak hanya bergantung kepada pengeluaran domestik.
Sebagai negara yang turut mengimport minyak untuk keperluan dalam negeri, kenaikan harga pasaran antarabangsa tetap memberi kesan negatif kepada kos keseluruhan.
Beliau menjelaskan bahawa dividen daripada Petronas mempunyai jumlah tertentu yang sudah diperuntukkan untuk pelbagai tujuan pengurusan dan pembangunan negara, bukannya boleh digunakan sepenuhnya hanya untuk mengekalkan harga minyak di pam.
Susulan situasi yang semakin meruncing, kerajaan dijangka mengadakan satu taklimat khas minggu ini yang akan menghimpunkan kepimpinan tertinggi pentadbiran setiap negeri, termasuk barisan pembangkang.
Langkah ini diambil bagi membina persefahaman nasional dalam menghadapi impak ekonomi akibat konflik di Asia Barat yang dijangka akan memberi kesan jangka panjang kepada kos sara hidup rakyat Malaysia.
Sumber: Bernama
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?