NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Proton e.MAS PHEV Laku Keras, Pilihan Paling Bijak Bersedia Isu Subsidi

Proton e.MAS PHEV Laku Keras, Pilihan Paling Bijak Bersedia Isu Subsidi

Sub-jenama kenderaan elektrik nasional, Proton e.MAS, terus memacu langkah kanan apabila secara rasmi disahkan sebagai jenama EV nombor satu di Malaysia.

Berdasarkan data prestasi terbaharu sehingga 30 April 2026, sebanyak lebih daripada 20,000 unit kenderaan Proton e.MAS kini sudah pun membanjiri jalan raya di seluruh negara.

Angka luar biasa ini membolehkan syarikat menguasai sebanyak 48 peratus pegangan pasaran bagi segmen EV sahaja, yang bermakna satu daripada setiap dua kenderaan elektrik yang dijual di dalam negara adalah daripada keluarga e.MAS.

Kejayaan tersebut pada mulanya didorong oleh model e.MAS 7 yang merekodkan jualan melebihi 10,000 unit pada tahun lalu , sebelum takhta model EV paling laris itu diambil alih oleh e.MAS 5 dengan penyerahan melebihi 8,400 unit sepanjang tahun ini.

Mengulas mengenai pencapaian luar biasa dalam tempoh yang singkat ini sewaktu berucap di acara The Real e.MAS Drive 2026 hari ini, Ketua Pegawai Penjenamaan Proton, Puan Salawati menyatakan bahawa fokus utama mereka adalah untuk memastikan fasa pemilikan kenderaan pelanggan berjalan dengan lancar dan meyakinkan melalui pembinaan ekosistem yang kukuh.

“Bagi kami, pengalaman pelanggan tidak terhenti setakat di bilik pameran sahaja. Ia berterusan sepanjang perjalanan pemilikan mereka, bermula daripada sokongan selepas jualan, akses servis, sehinggalah kepada kemudahan pengecasan,” jelas beliau yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri automotif.

PHEV Jadi Tarikan Baharu Pengguna Pasaran

e.MAS

Proton e.MAS 7 PHEV

Di samping kejayaan varian elektrik sepenuhnya, Proton e.MAS turut berjaya mencuri tumpuan pengguna kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) konvensional menerusi pengenalan model terbaharu mereka, e.MAS 7 PHEV (Plug-in Hybrid Electric Vehicle).

Menariknya, sebanyak 63 peratus daripada keseluruhan pembeli model PHEV ini merupakan mereka yang beralih daripada kenderaan petrol biasa.

Model yang dilancarkan awal tahun ini telah pun mencatatkan jualan melebihi 1,700 unit, sekali gus melayakkannya memegang gelaran model PHEV paling laris di Malaysia bagi tahun 2026.

Trend ini jelas menunjukkan bahawa pengguna tempatan kini mula menilai semula faktor kos bahan api dan mobiliti harian mereka dengan lebih serius.

Pilihan Bijak Mendepani Isu Subsidi Bahan Api

Kehadiran e.MAS 7 PHEV ini juga dianggap sebagai pilihan paling bijak untuk melindungi poket pengguna dalam mendepani fasa perubahan struktur subsidi bahan api seperti Budi95 pada masa hadapan.

Varian PRIME yang ditawarkan pada harga RM105,800 bukan sahaja hadir dengan penjimatan bahan api yang tinggi kerana mengutamakan pemanduan kuasa elektrik, malah memberikan ruang yang sangat luas serta ciri teknologi canggih yang sukar ditandingi oleh kenderaan kompak atau SUV lain pada julat harga yang sama.

Gabungan penjimatan, nilai kompetitif, dan ekosistem sokongan yang kuat ini membuktikan bahawa Proton e.MAS kini bersedia sepenuhnya untuk menerajui era peralihan tenaga baharu di Malaysia.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD