NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Perodua Bezza Terbabas, 2 Orang Tercampak Keluar, Seorang Maut

Perodua Bezza Terbabas, 2 Orang Tercampak Keluar, Seorang Maut

KAPIT: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas dalam satu kemalangan kendiri di Jalan Song-Kapit, berhampiran kawasan Engkabau, petang tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu membabitkan sebuah Perodua Bezza yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas hampir 20 meter ke dalam kawasan semak di bahu jalan.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Song sebelum sepasukan tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, ketika bomba tiba di lokasi, kedua-dua mangsa didapati telah tercampak keluar daripada kenderaan akibat impak kemalangan.

“Salah seorang mangsa ditemui berada di bawah bahagian bonet kereta, manakala seorang lagi berada kira-kira satu meter dari lokasi mangsa pertama,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit di bawah bonet, anggota bomba menggunakan peralatan Air Lifting Bag untuk mengangkat bahagian hadapan kenderaan sebelum mangsa berjaya dikeluarkan.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Song.

Seorang lagi mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sebelum mayatnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat turut dibantu empat anggota PDRM dan tiga petugas KKM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.23 petang.

Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy