IPOH – Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menuju ke arah utara berdepan kesesakan kira-kira tujuh kilometer susulan kemalangan melibatkan dua lori di Kilometer 257.2, selepas Terowong Menora, hari ini.
Kejadian itu turut menyebabkan kesemua lorong menuju ke utara terhalang, sekali gus menjejaskan pergerakan trafik dari Ipoh menghala ke Kuala Kangsar.
Menurut PLUS Trafik menerusi hantaran di aplikasi X, sehingga jam 10.27 pagi, trafik di lokasi berkenaan dilaporkan tidak bergerak sejauh kira-kira tujuh kilometer.
Bagi mengurangkan kesesakan, trafik arah utara dilencongkan keluar melalui Plaza Tol Ipoh (Selatan), manakala laluan kontra turut diaktifkan dari Kilometer 257.3 hingga Kilometer 256.2.
Pengguna lebuh raya yang melalui kawasan berkenaan dinasihatkan merancang perjalanan serta mematuhi arahan petugas yang berada di lokasi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan tersebut pada jam 8.58 pagi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan dua buah lori dengan seorang pemandu dilaporkan tersepit di dalam kenderaan.
“Operasi menyelamat sedang dijalankan oleh anggota,” katanya.
Operasi menyelamat melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dan masih berlangsung ketika ini.
Maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa serta punca kemalangan akan dikemas kini selepas operasi dan siasatan selesai.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?