China sering dianggap sebagai destinasi yang ‘kurang menarik’ oleh sesetengah pelancong kerana budaya yang berbeza serta bandar yang kelihatan terlalu moden. Namun, pengalaman seorang wanita Malaysia ini mungkin membuat ramai berubah fikiran.
Seorang pengguna TikTok, Ryanalysaaa, mencuri perhatian apabila berkongsi momen unik menaiki teksi tanpa pemandu ketika berada di Shenzhen. Video yang dimuat naiknya mengundang pelbagai reaksi kagum, terutama apabila ramai menyaksikan sendiri bagaimana sebuah kereta mewah mampu bergerak sepenuhnya secara autonomi.

Menurut Lysa, dakwaan bahawa melancong ke China itu membosankan sama sekali tidak benar. Dalam video tersebut, dia menunjukkan kecanggihan sistem robotaxi negara itu sambil menyifatkan pengalamannya menaiki ‘teksi robot’ tersebut sebagai sesuatu yang cukup luar biasa. Lebih mengejutkan, kenderaan yang dinaikinya bukan kereta biasa — tetapi sebuah Lexus SUV mewah yang beroperasi tanpa seorang pun pemandu di dalamnya. Setibanya di lokasi, kereta itu turut membunyikan hon sebagai isyarat kepada penumpang.
Di dalam kenderaan, sebuah skrin besar dipasang di bahagian hadapan untuk memaparkan laluan, keadaan trafik dan pergerakan kereta secara masa nyata. Berdasarkan perkongsian Lysa, perjalanan sejauh 3.1 kilometer hanya menelan kos 21 RMB (kira-kira RM12.42). Malah, dengan diskaun sebanyak 10.1 RMB, tambangnya menjadi jauh lebih murah—sesuatu yang membuat warganet tempatan mula membandingkan perkhidmatan itu dengan teksi konvensional di negara lain.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang memuji kecanggihan robotaxi tersebut dan menganggap ia sangat praktikal untuk golongan introvert kerana tidak perlu berinteraksi dengan pemandu. Ada juga yang bergurau, “confirm bagi 5 bintang!”
Fenomena teksi automasi sebenarnya bukan perkara baru di China. Negara itu kini menjadi antara peneraju utama dalam teknologi kenderaan autonomi. Syarikat gergasi seperti Baidu melalui platform Apollo Go memainkan peranan besar dalam memperluaskan penggunaan robotaxi di bandar-bandar utama seperti Beijing, Wuhan dan Shenzhen.
Dengan tambang yang berpatutan serta pengalaman yang futuristik, tidak hairanlah perkhidmatan robotaxi semakin mendapat tempat di hati penduduk tempatan dan pelancong asing.
Sumber: VOCKET
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?