NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Puspakom Masih Pemegang Lesen Pemeriksaan Kenderaan Pertama di Malaysia, Gunakan Kecerdasan Buatan (AI)

Puspakom Masih Pemegang Lesen Pemeriksaan Kenderaan Pertama di Malaysia, Gunakan Kecerdasan Buatan (AI)

Berkuatkuasa 1 September ini, Puspakom Sdn Bhd akan menjadi pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama di Malaysia yang beroperasi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman, dengan penganugerahan lesen operasi tersebut, Puspakom kini lebih berupaya untuk menjadi entiti yang lebih lestari dan kompetitif di dalam sektor automotif negara.

Dengan pengalaman selama 30 tahun dalam industri, pihak Puspakom akan terus maju dan berusaha untuk digabungkan dengan teknologi terkini untuk terus kekal relevan sebagai pilihan utama pelanggan.

“Puspakom berbangga menjadi pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama negara dan akan terus mengekalkan misi kami untuk menjadikan pengangkutan jalan raya lebih selamat melalui pemeriksaan kenderaan.

“Ketika persiapan untuk menghadapi landskap yang kompetitif, kami telah merangka pelan komprehensif untuk penambahbaikan agar lebih bersedia pada masa hadapan.

“Ini termasuk menaiktaraf perkhidmatan pelanggan, produk dan servis baharu serta penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) untuk menjadikan Puspakom bersedia menghadapi persaingan,” katanya.

Operasi percubaan telah dijalankan selama 16 jam di cawangan Glenmarie, Shah Alam dalam dua syif, bermula dari jam 7 pagi hingga 11 malam. Ini merupakan sebahagian daripada usaha Puspakom untuk menambah baik mutu perkhidmatan dan untuk mengumpulkan data tentang penerimaan pelanggan.

“Fasa percubaan di Glenmarie akan berakhir pada 3 Januari 2025. Justeru, saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan.

“Terutamanya Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana terus meletakkan kepercayaan kepada Puspakom.

“Dahulu, pemeriksaan kami mengambil masa lebih 75 minit, hari ini dengan penggunaan teknologi dan aliran kerja yang lebih baik, secara purata boleh diselesaikan dalam hanya 34 minit,“ ujarnya lagi.

 

Sumber : Sinar Harian

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy