NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Bayi 5 Bulan Maut, Ibu Bapa Cedera Kereta Dirempuh Pemandu Lori Positif Dadah

Bayi 5 Bulan Maut, Ibu Bapa Cedera Kereta Dirempuh Pemandu Lori Positif Dadah

Kegembiraan sebuah keluarga dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Pulau Pinang bertukar tragedi apabila bayi lelaki mereka yang baru berusia lima bulan maut dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik, malam tadi.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 10.30 malam di hadapan simpang Kampung Sadek itu melibatkan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki tiga beranak tersebut dengan sebuah lori.

Rempuhan kuat itu mengakibatkan bayi berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Baling.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe memaklumkan bahawa bapa mangsa yang berusia 27 tahun dan ibunya, 41 tahun, turut mengalami kecederaan di bahagian muka dan kini sedang menerima rawatan di hospital yang sama.

Siasatan awal pihak polis membawa kepada penahanan pemandu lori berusia 43 tahun tersebut. Hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah.

“Pihak polis telah menahan pemandu lori terbabit dan permohonan reman selama empat hari bermula hari ini telah diluluskan oleh mahkamah bagi membantu siasatan lanjut. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Jika sabit kesalahan bagi perbuatan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian, pelaku boleh dihukum penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda sehingga RM100,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.32 malam dan segera menggegaskan tujuh anggota ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati mangsa wanita dan bayinya telah dikeluarkan terlebih dahulu oleh orang awam. Pihak bomba kemudiannya membantu mengeluarkan pemandu kereta (bapa mangsa) yang tersepit. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.21 malam,” jelasnya.

Mayat bayi malang itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Sumber: Berita Harian

Siti Sarah Abu Kassim

Siti Sarah merupakan Spesialis Naratif & Formula 1 (F1) yang pakar dalam menggarap skrip serta dialog berimpak tinggi. Berbekalkan pemahaman teknikal yang mendalam tentang jentera F1, beliau cemerlang merapatkan jurang antara penceritaan emosi dan analisis sukan permotoran elit sebagai seorang pengacara yang serba boleh.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy