Beberapa laluan Smartlane di Lebuhraya Utara-Selatan akan diaktifkan sebagai kelancaran trafik kerana PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menganggarkan peningkatan trafik sehingga dua juta kenderaan sehari di lebuh raya mereka, terutamanya semasa hari puncak seiring dengan cuti sekolah, Krismas dan Tahun Baru.
Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai (KM19.0 hingga KM27.0 – Arah Utara) pada 22 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024 (8 pagi hingga 6 petang) dan Persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban (KM260.0 hingga KM263.1 – Arah Utara) pada 23 hingga 25 Disember 2023 dan pada 29 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024 (9 pagi hingga 10 malam) adalah antara laluan yang terlibat.
Tertakluk kepada keadaan trafik semasa di lokasi-lokasi, laluan Gua Tempurung ke Gopeng (KM306.7 hingga KM297.0 – Arah Utara), Slim River ke Sungkai (KM366.8 hingga KM354.0 – Arah Utara) dan dari kawasan Rehat & Rawat (R&R) Rawang ke Persimpangan Sungai Buaya (KM439.5 hingga KM435.5 – Arah Utara) turut terlibat.
PLUS berpesan kepada semua yang menggunakan Lebuhraya PLUS antara 22 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024 agar merancang perjalanan sebaiknya dengan memeriksa waktu perjalanan melalui jadual digital My-TTA di dalam aplikasi PLUS.
PLUS turut bersedia untuk membantu menguruskan trafik supaya perjalanan lebih lancar buat semua pengguna lebuhraya di musim perayaan ini. Kerja-kerja penyelenggaraan jalan telah diberhentikan sepanjang tempoh di antara 20 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024 (kecuali kecemasan). Terdapat lebih kurang 4,600 pekerja telah ditugaskan di plaza-plaza tol, PLUSRonda, Pusat Pemantauan Trafik dan RELA.
PLUS turut berpesan agar sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, kawal emosi semasa memandu, lebih-lebih lagi jika hujan. Berhenti rehat sekejap di R&R atau hentian berdekatan sebelum sambung semula perjalanan jika mengantuk atau penat.