Kementerian Pengangkutan masih mengkaji cadangan membenarkan pemegang lesen motosikal kelas B2 dinaik taraf kepada B secara automatik dan perkara ini telah disahkan sendiri oleh Anthony Loke. Tambahnya lagi, cadangan tersebut masih dalam perbincangan Kementerian Pengangkutan kerana terdapat pelbagai pandangan mengenainya.
Dilaporkan oleh Berita Harian, beliau berkata keputusan masih belum dibuat. Ia masih di peringkat perbincangan lanjut kerana ia melibatkan motosikal berkuasa besar. Hal ini telah menimbulkan kebimbangan daripada pelbagai pihak kerana tidak semua pemegang lesen B2 mampu untuk membawa motosikal besar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata akan membawa cadangan untuk menaik taraf lesen memandu bagi kelas B2 kepada B secara automatik ke Kementerian Pengangkutan untuk penelitian pada Ogos lalu kerana beliau berpendapat penunggang motosikal lesen B2 memang mempunyai pengalaman.
Susulan dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh Presiden Persatuan Superbikers Malaysia (SAM), Datuk Abdul Halim Sulaiman pada tiga tahun lepas iaitu untuk menaik taraf lesen kelas B2 kepada B secara automatik dengan had 250 cc. Ini dengan syarat pemegang lesen tidak melanggar sebarang kesalahan lalu lintas yang serius.
Walau bagaimanapun, perkara ini telah mendapat perhatian daripada pelbagai pihak selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye bahawa cadangan ini boleh mengakibatkan implikasi yang serius terutamanya dari segi aspek keselamatan kerana jumlah kematian yang melibatkan penunggang motosikal di Malaysia adalah sangat tinggi.
Sumber : Paultan, Berita Harian