Kedai pop-up pertama oleh Sime Darby Motors telah dibuka di pusat beli-belah One Utama yang menampilkan beberapa jenis model dan jenama automotif terkemuka di dunia seperti BMW, Mini, BMW Motorrad, BYD, Hyundai dan Ford. Membawa pengalaman automotif yang unik dan menarik ke salah satu pusat beli-belah utama di dalam negara, usaha menarik ini menandakan satu peristiwa penting bagi Sime Darby Motors.
Dalam satu kenyataan, Sime Darby Motors berkata, kedai pop-up ini akan dibuka sepanjang 3 bulan bermula dari 1 Januari 2024 hingga 31 Mac 2024 dan terletak di Lot G102A tingkat bawah pusat beli-belah One Utama.
“Pengunjung boleh menjangkakan barisan menarik model kenderaan elektrik (EV) terkini daripada BMW, MINI, Motorrad, BYD dan Hyundai serta model terbaru dari Ford turut tersedia untuk tontonan. BMW, simbol kecemerlangan automotif, mempamerkan BMW iX xDrive40, BMW iX xDrive50 Sport, BMW iX1, dan BMW i7 serba baharu yang mewah,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, bagi peminat motosikal elektrik, pameran tiga model menarik oleh BMW Motorrad iaitu skuter elektrik canggih BMW CE04, skuter saiz sederhana premium BMW C400 GT dan BMW R9T turut bersedia untuk menarik minat para pelanggan. Mini Electric yang dikenali dengan reka bentuk ikonik dan kompak namun berkuasa turut dipamerkan untuk membuktikan pemanduan elektrik yang menyeronokkan.
Tidak lupa juga kepada perintis dalam kenderaan elektrik, BYD, turut mempamerkan model-model mereka iaitu BYD Dolphin, BYD Atto 3 dan Edisi Ulang Tahun Atto 3 Khas. Bagi pengunjung yang ingin menikmati barisan terbaharu dari Ford, Ford Ranger Raptor, Ford Ranger Platinum Baharu dan Ford Everest turut tersedia di kedai ‘pop-up’ itu bagi pengunjung yang ingin menerokai gaya pemanduan yang hebat.
Sime Darby Motors mengajak orang ramai supaya hadir beramai-ramai ke kedai ‘pop-up’ ini agar semua orang boleh menjadi sebahagian dari pengalaman automotif yang luar biasa ini. Acara ini juga sebagai bukti bahawa Sime Darby Motors menghargai para pelanggan mereka dan ingin mendekatkan jenama-jenama yang bertaraf dunia kepada para pengunjung yang dihargai.
Sumber: Berita Harian