Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan bahawa penguatkuasaan lebih ketat bakal dilaksanakan oleh kementeriannya kepada pengguna jalan raya yang menyalahgunakan laluan khas bas. Ini untuk memastikan bahawa laluan khas bas itu tidak digunakan oleh pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya dalam laporan Bernama, untuk memastikan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas menjadi antara pilihan utama dalam kalangan rakyat, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan.
“Pendekatan saya ialah carrot and stick (ganjaran dan hukuman). Jika carrot (manfaat) tidak menarik mereka, kita akan gunakan stick (penguatkuasaan). Orang ramai tidak berminat menaiki bas kerana terdapat kemungkinan mereka tersangkut dalam kesesakan jalan raya kerana kekerapan bas sukar dijangka. Itulah sebabnya kita berusaha keras memperkenalkan laluan bas,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Laporan Prestasi 2023 dan Pelan 2024 Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Menara UOA hari ini.
Tambahnya lagi, jika mereka berjaya dalam dua laluan yang ada pada masa ini iaitu Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang, mereka bercadang untuk memperbanyakkan lagi laluan khas bas pada masa akan datang. Anthony turut mengumumkan bahawa pihaknya sudah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan pada ketika ini dalam melaksanakan perluasan dua laluan khas bas iaitu di daerah Lembah Klang melibatkan Jalan Ampang dan Jalan Klang Lama ke Jalan Puchong termasuk di Jalan Burma, Pulau Pinang.
Berbanding dengan jumlah penumpang bas pada tahun 2023 iaitu sebanyak 241,000, beliau telah memaklumkan bahawa kerajaan telah menyasarkan purata penumpang pada tahun ini meningkat sebanyak 18 peratus. Selain itu, Prasarana turut menyasarkan untuk menaik taraf sebanyak 117 tapak perhentian bas, 11 laluan pejalan kaki dan 15 hab bas untuk tahun ini.
Sumber: Bernama, Paultan