Harga bagi Honda CR-V varian e:HEV RS telah diumumkan hari ini secara rasmi oleh Honda Malaysia dan akan dijual untuk pasaran tempatan pada harga RM195,900 atas jalan tidak termasuk insurans. Pada bulan Disember lalu, Honda CR-V Generasi ke-6 telah dilancarkan dan model ini didatangkan dengan empat jenis varian untuk jualan.
Bagi varian 1.5L turbo S akan dijual pada harga RM159,900, 1.5L E Turbo pada harga RM169,900 dan 1.5L V AWD pada harga RM181,900 atas jalan tidak termasuk insurans. Berbanding dengan varian 1.5L V AWD, harga jualan bagi varian e:HEV RS ini adalah RM14,000 lebih mahal.
Varian hibrid ini didatangkan dengan janaan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang menggabungkan janaan motor elektrik dengan enjin petrol dan mampu menghasilkan 335 Nm pada 2000 rpm. Manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 184 Ps pada 5000-8000 rpm.
Hanya terhad kepada varian hibrid sahaja, paparan instrumen digital 10.25 inci, sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara serta Adaptive Driving Beam untuk lampu utama bakal didatangkan dalam varian ini. Sempena meraikan ulang tahun Honda yang ke-75 dan 20 tahun sejak model pertama CR-V dikeluarkan di Melaka, varian S bakal ditawarkan pada harga RM157,900 kepada 750 unit untuk pelanggan yang terawal.
Sumber : Paultan