Dengan melancarkan dua model sebagai permulaan iaitu SUV segmen-C Omoda 5 dan juga SUV segmen-D tujuh tempat duduk iaitu Tiggo 8 Pro, sebuah jenama automotif dari China, Chery telah masuk semula ke pasaran Malaysia secara rasmi pada bulan Julai tahun lalu.
Dengan strategi baharu yang lebih agresif termasuk memperkenalkan kedua-dua model terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di Kulim, Kedah, Chery kini tampil semula ke pasaran tempatan dengan lebih yakin dan telah berjaya menjual sebanyak 4,501 unit kenderaan pada tahun 2023.
3,600 unit dari jumlah jualan tersebut datang daripada Omoda 5, manakala selebihnya iaitu sebanyak 900 unit datang daripada Tiggo 8 Pro. Hanya bermula pada hujung bulan September, unit-unit tersebut telah dihantar kepada pelanggan dan ini menunjukkan purata jualan untuk sebulan bagi Omoda 5 adalah 1,200 unit dan 300 unit untuk Tiggo 8 Pro.
Chery Malaysia juga ingin memastikan jaringan pusat jualan dan servis selepas jualannya lebih baik dari sebelum ini dan sentiasa bersedia untuk berurusan dengan pelanggan.
Menurut Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang dalam pembentangan rancangan perniagaan syarikat tersebut bagi tahun 2024, “Ia merupakan tahun yang menarik buat Chery, sejak dari hari kami lancarkan produk kami pada Julai hingga menghantar kenderaan kami kepada pelanggan dua bulan selepas itu.”
Tambahnya lagi, beliau akan fokus untuk mengenal pasti masalah yang akan diutarakan oleh pelanggan dan berusaha sehabis baik untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut dan selari dengan komitmen utama untuk Chery pada 2024 iaitu fokus utama adalah untuk menyelesaikan segala masalah pelanggan Chery Malaysia.
“Menjelang akhir 2024, kami berharap untuk mempunyai sekurang-kurangnya 48 cawangan beroperasi dan ia turut akan menyumbang kepada peningkatan 70% dalam pusat 3S dan 4S kami. Dengan lebih banyak cawangan dan perkongsian kerjasama dalam perancangan, ini akan menjadi platform untuk mempamerkan model terbaharu, teknologi termaju dan contoh perkhidmatan pelanggan Chery,” kata pengarah pembangunan rangkaian Chery Auto Malaysia, Soon Boon Ping.
EV pertama bagi Chery akan dilancarkan pada bulan Mac ini iaitu Omoda E5 dan ia telah diperlihatkan di Malaysia pada akhir tahun lalu. Chery turut mengumumkan bahawa SUV segmen-C Tiggo 7 Pro turut akan dilancarkan selepas itu. Chery Malaysia turut merancang untuk memperbanyakkan lagi model-model mampu milik yang berharga di bawah RM100,000 pada suku keempat 2024.
Sumber : Paultan