Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, pelaksanaan Lemon Law di Malaysia dapat melindungi pengguna daripada penipuan dan kerosakan produk yang dijual. Tambah beliau lagi, penjual bertanggungjawab untuk membaiki, menggantikan, membayar balik atau menurunkan harga produk yang didapati rosak selepas membeli.
Tidak cuma produk, malah ia terpakai kepada semua peniaga yang menjual produk pengguna di Malaysia seperti kereta bermotor, peralatan rumah, perabot, peranti digital dan banyak lagi, menurut laporan dari Berita Harian.
Bagi sektor automotif, jika kenderaan yang dibeli mengalami kecacatan atau kerosakan yang serius, dengan Lemon Law, pembeli kereta berhak mendapat bayaran balik atau kereta baharu. Tambah Saravanan lagi, jika pengeluar kenderaan tidak dapat membaiki kenderaan tersebut, sama ada bayaran balik harga pembelian kepada pembeli atau menggantikan kenderaan harus dilaksanakan.
“Pelanggan boleh memulangkan produk yang rosak dan meminta penggantian daripada penjualnya seperti pengurangan harga. Pilihan lain termasuk bayaran balik penuh wang yang telah dibayar, pembaikan atau penggantian produk yang rosak dalam tempoh masa yang munasabah. Undang-undang ini akan merangkumi penjelasan mengenai ‘waranti rahsia,’ panggilan semula kenderaan dalam konteks pembelian dan pemilikan kenderaan,” katanya.
Penambahbaikan undang-undang jual beli termasuk cadangan memperkenalkan Lemon Law dilaporkan sedang diteliti oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Ogos tahun 2022. Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang ketika itu sedang memegang jawatan menteri berkata, bagi melindungi pengguna agar tidak menjadi mangsa penipuan atau terpaksa menanggung kerugian yang besar, adalah penting supaya mereka berusaha untuk mengenalkan undang-undang baharu berkenaan.
Baru-baru ini ia dibangkitkan semula disebabkan semakin ramai pengguna yang menghadapi masalah yang sama di mana mereka baru sahaja membeli kenderaan dan dalam tempoh masa yang singkat, kenderaan mereka telah rosak. Lebih malang lagi, penjual kenderaan berkenaan tidak dapat membaiki kenderaan dan memberi alasan yang tidak munasabah kepada pembeli. Adakah wajar Lemon Law dilaksanakan di Malaysia?
Sumber : Berita Harian