Kes Anggota Trafik Tawar Diskaun Saman pada Pasangan Britain – 3 Pegawai Polis Trafik Perak Telah Ditahan

Berikutan dengan satu video yang telah tular di laman media sosial yang memaparkan seorang anggota polis trafik telah menawarkan “diskaun saman” kepada pasangan suami isteri yang dikenali sebagai Chris dan Marianne Fisher kerana telah memandu melebihi had laju yang ditetapkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telahpun mengeluarkan satu kenyataan yang mengesahkan bahawa 3 pegawai polis trafik telah ditahan berhubung kes berkenaan.

Tiga anggota trafik tersebut masing-masing berumur 37 hingga 42 tahun dan dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, menurut Ketua Polis Perak, Dato’ Sri Mohd Yusri Bin Haji Hassan Basri.

Kes ini disiasat di bawah seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta SPRM serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan kesemua mereka dipercayai terlibat bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan. Ketiga-tiga pegawai trafik telah direman selama 3 hari bermula semalam, 30 Januari 2024 sehingga 1 Februari 2024 bagi tujuan siasatan lanjut.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan mengambil alih kertas siasatan kes ini dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalaman apabila siasatan sudah dilengkapkan. Tambah Mohd Yusri lagi, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman juga turut akan menjalankan siasatan.

Apa yang dapat dilihat dalam video tersebut adalah pasangan terbabit telah memandu melebihi had laju yang sepatutnya iaitu selaju 80 km/j dan anggota trafik yang sedang bertugas pada waktu itu telah mengeluarkan saman pada pasangan itu. Walau bagaimanapun, anggota terbabit dilihat menawarkan diskaun saman tersebut, sama ada bayaran sebanyak RM300 di balai polis atau RM100 sahaja jika dibayar secara terus kepada dirinya. 

Tanpa berfikir panjang, pasangan terbabit telah membayar RM100 kepada anggota trafik tersebut dan menganggap bahawa membayar saman secara terus dan cepat dengan anggota terbabit telah merendahkan kadar saman berbanding jika dibayar di balai polis. “Great option,” kata mereka.

Polis turut mengesahkan kejadian berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. Polis turut meminta kerjasama dari pasangan terbabit untuk tampil agar siasatan dapat dilakukan dengan cepat, dalam kenyataan yang mereka keluarkan semalam.

 

Sumber : Paultan

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD