Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kenderaan berat dengan muatan berlebihan adalah antara salah satu punca dan penyumbang kepada kemalangan jalan raya. Katanya, masalah berat muatan berlebihan perlu diatasi dengan tindakan tegas menerusi penguatkuasaan dan ia juga satu masalah yang berlanjutan sekian lama dan perlu ditangani segera, laporan Harian Metro.
“Jadi lebih muatan ini adalah satu masalah yang perlu kita tangani secara bersepadu dan penguatkuasaan akan ditambah,” katanya sambil menambah penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjalan seperti biasa malah operasi khas sentiasa dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan berjalan lancar dan efisien.
Penguatkuasaan telah giat dijalankan mulai suku ketiga tahun lepas dan terus meningkat dengan jumlah saman yang dikeluarkan bertambah sejak beberapa bulan ini terutamanya kepada pemilik kenderaan perdagangan.
Turut menjadi kebimbangan kepada PLUS Malaysia Berhad, trend kemalangan yang membabitkan kenderaan berat semakin meningkat baru-baru ini. Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, ia bukan sahaja pada musim perayaan malah pada setiap masa memandangkan peningkatannya yang semakin serius dan membimbangkan.
Pada tahun lalu, sebanyak 10 peratus rekod kematian adalah berpunca dari kemalangan yang membabitkan kenderaan berat dari keseluruhan rekod kematian di sepanjang lebuhraya tersebut.
“Rekod PLUS menunjukkan 12 peratus daripada keseluruhan jumlah kenderaan berat di lebuh raya adalah melebihi muatan yang dibenarkan sehingga menjangkau 24 tan per gandar berbanding 12 tan yang dibenarkan. Ini amatlah berisiko tinggi dan akan menyebabkan peningkatan insiden dan kemalangan akibat kerosakan brek dan tayar dan sebagainya,” katanya.
Ini akan mengakibatkan kesesakan yang teruk dan mengganggu perjalanan pengguna yang lain kerana masa yang diperlukan untuk membersihkan jalan raya adalah lama, tambahnya. “Kerosakan dan kemalangan kenderaan berat memerlukan tempoh panjang untuk diuruskan kerana ia tidak mudah untuk dialihkan dan memerlukan penggunaan jentera berat dan sebagainya,” katanya.
Pelbagai cara dan langkah telah dilakukan oleh pihak berkuasa seperti mengeluarkan saman yang banyak kepada pemandu lori dan pengusaha syarikat pengangkutan. Namun masih terdapat segelintir pemandu lori yang tidak mengambil serius isu ini dan tidak menitikberatkan soal isu keselamatan ketika memandu di jalan raya.
Sumber : Paultan, Harian Metro