Seorang wanita telah ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta, Selasa lalu, di medan parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun. Menurut laporan The Star, hasil siasatan menunjukkan bahawa mangsa meninggal dunia adalah disebabkan dia tertidur di kerusi belakang tanpa membuka tingkap. Laporan bedah siasat kini sedang ditunggu dan kes telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, mangsa sedang menjaga bapanya yang sedang dimasukkan ke dalam wad hospital berkenaan. Tambah beliau lagi, mangsa berniat untuk berehat sebentar di kerusi belakang tetapi tanpa membuka sedikitpun tingkap kereta.
”Pihak polis menerima panggilan daripada pengawal keselamatan di hospital berkenaan pada Selasa petang, melaporkan tentang seorang wanita yang tidak sedarkan diri dan berkemungkinan telah meninggal dunia di dalam keretanya. Dengan bantuan bomba, pintu kereta berkenaan dapat dibuka, dan pegawai kesihatan kemudiannya mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia,” ujarnya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak tidur di dalam kereta, lebih-lebih lagi jika enjin kereta tidak dihidupkan, menurut Yahaya. Hal ini kerana, sistem penghawa dingin tidak akan berfungsi dan ini boleh mengakibatkan kekurangan oksigen yang boleh membawa kepada kematian. Selain itu, jika enjin dan penghawa dingin dihidupkan juga tidak digalakkan untuk tidur di dalam kereta kerana berkemungkinan akan berlaku keracunan gas karbon monoksida.
Sumber : The Star