Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 7.09 malam semalam.
Semasa operasi pemadaman sedang dilakukan, difahamkan bahawa berlakunya runtuhan pada dinding bangunan tersebut dan sepasukan 15 anggota bomba yang berada di bahagian dalam Pasar Raya Besar Mydin di Manjoi telah diarah keluar dari bangunan tersebut.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, anggota yang dilengkapi dengan peralatan perlindungan diri (PPE) dan alat pernafasan berada di tingkat satu bahagian kiri bangunan.
“Setelah melakukan penilaian risiko, pasukan masuk dari pintu belakang memulakan operasi pemadaman secara ‘offensive’. Kira-kira 20 minit kemudian terdengar runtuhan berlaku di bahagian kanan.
“Runtuhan itu melibatkan dinding dengan api mula marak. Pasukan yang berada di dalam bangunan telah diarahkan keluar demi keselamatan mereka,” katanya kepada pemberita di sini.
Pelbagai strategi pemadaman telah disusun berikutan struktur bangunan yang sudah mula rapuh dan tidak selamat untuk dimasuki, tambah beliau.
“Kaedah pemadaman secara ‘defensive’ dilakukan dengan menggunakan Ariel Ladder Platform (ALP) bermula dari bumbung yang menempatkan panel solar.
Kredit Imej : Sinar Harian
“Struktur bumbung bangunan telah runtuh dan api merebak ke tingkat satu. Api yang marak dengan cepat berjaya dikawal sepenuhnya oleh pasukan bomba,” katanya.
Kredit Imej : Sinar Harian
Sayani turut mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dari sisa runtuhan yang bertaburan di Jalan Pasar itu dan rumah penduduk di kawasan situ juga semuanya selamat.
“Pemadaman kebakaran masih diteruskan apabila struktur dinding di bahagian kiri bangunan mula retak dan berisiko untuk berlaku runtuhan.
“Operasi dijangka mengambil masa lama berikutan api masih marak di kawasan bangunan dianggarkan seluas 10,000 kaki persegi dengan memfokuskan kedua-dua bahagian,” katanya.
Kredit Imej : Sinar Harian
Penduduk berhampiran dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak mendekati tempat kejadian kerana kawasan persekitaran masih tidak selamat lagi.
Seramai 123 pegawai dan anggota daripada bomba, polis, Jabatan Sukarelawan (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Air Perak dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah terlibat dalam operasi pemadaman ini bermula dari jam 7.09 malam, semalam.
Operasi pemadaman hari kedua diteruskan lagi hari ini melibatkan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Meru Raya, Simpang Pulai dan Pasir Puteh bagi memastikan sisa kebakaran dipadam sepenuhnya. Punca kebakaran dipercayai bermula dari bahagian bumbung dan turut berlaku runtuhan dinding pada bahagian kanan premis.
Sumber : Sinar Harian