Ujian rintis awam bagi sistem pembayaran terbuka di plaza tol Jambatan Pulau Pinang sedang dilakukan oleh pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS). Selain dari kad Touch’N’Go dan RFID, kini pengguna Jambatan Pulau Pinang boleh memilih untuk melakukan pembayaran transaksi tol menggunakan kad debit atau kredit.
“Transaksi tol kini boleh dibuat di lorong yang dipasang papan tanda dengan logo MyDebit, Visa dan Mastercard. Di lorong tersebut, disediakan dua jenis peranti iaitu peranti kad Touch ‘n Go dan peranti MyDebit-Visa-Mastercard.
“Pengguna boleh menyentuh kad debit atau kredit mereka pada peranti MyDebit-Visa-Mastercard untuk transaksi tol, di mana bayaran tol akan ditolak dari baki kad debit atau kad kredit mereka. Dengan pelaksanaan ini, orang ramai kini mempunyai lebih mod pilihan untuk membayar tol di lebuh raya terbabit,” kata PLUS.
Selain itu, PLUS turut berkongsi bahawa diskaun sebanyak 20% akan diberikan kepada penduduk Pulau Pinang yang layak, sekiranya anda mendaftar kad bank anda di portal JimatDiPenang.