Ahli-ahli parlimen, pertubuhan hak pengguna, pengeluar, pengedar kereta, penjual kereta terpakai dan pemegang taruh lain perlu melibatkan diri dalam urus sama kajian melibatkan pengenalan Lemon Law.
Menurut Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, negara-negara luar seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, Filipina dan Singapura telah melaksanakan Akta Lemon Law dan ini menunjukkan bahawa ia bukanlah satu akta yang baharu.
Ujar Syahredzan, Malaysia boleh belajar dan mengambil contoh dari negara-negara yang telah melaksanakan Akta Lemon Law walaupun kerajaan masih lagi dalam peringkat kajian Lemon Law.
“Di samping itu, penting untuk kementerian mempergiatkan lagi usaha untuk menerapkan kesedaran ramai mengenai hak-hak mereka sebagai pengguna.
“Saya berharap tidak lama lagi akan ada sinar buat pembeli kereta pada masa hadapan supaya mereka terlindung daripada situasi yang tidak diingini,” katanya ketika membangkitkan mengenai perkara tersebut di Kamar Khas Dewan Rakyat pada Isnin.
Selain itu, beliau turut menyuarakan bahawa pelaksanaan Lemon Law ini harus dikuatkuasakan juga untuk penjual kereta terpakai agar kenderaan sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan berkualiti walaupun sudah pernah dipakai.
“Tidak dinafikan rakyat kita mengalami kebergantungan tinggi kepada kereta persendirian. Pemilikan kereta menjadi satu keperluan bukan kemewahan.
“Tanpa perlindungan undang-undang, ada kemungkinan pembeli dibebani dengan kereta yang rosak dan tersadai di bengkel tetapi pada masa sama membayar bulanan kepada institusi peminjam,” ujarnya.
Sumber : Sinar Harian