Sepasang suami isteri terlupa akan keberadaan anaknya dan telah ditinggalkan di dalam kereta selepas hampir 15 minit keluar dari kenderaan terbabit.
Sebuah video berdurasi 1 minit 41 saat telah tular di laman sosial Tiktok di mana bapanya sendiri telah memuat naik video tersebut yang memaparkan ahli keluarga kanak-kanak tersebut berlari menuju ke kereta setelah menyedari anak mereka yang berusia 3 tahun itu tertinggal di dalam kereta.
“Sejarah hidup tidak pernah lupa, tapi kali ini menjadi pengajaran. Anak tertidur dalam kereta bahagian belakang selama 15 minit. Semuanya selamat,” tulisnya @farishal83.
Tambah @farishal83, beliau menjelaskan bahawa mereka mula menyedari akan kehilangan anak mereka itu semasa mahu bersalam-salaman dengan ayahnya sebelum berangkat pulang ke kampung.
“Tengah bersalaman dengan atok, atok nak balik. Tiba-tiba rasa sunyi dan nak salam yang kecil tiada. Mama teringat dalam kereta sebab ikut pergi hantar kakak ke sekolah. 15 hingga 20 minit tengah panas panas, nasib tingkap ada terbuka,” katanya.
@farishal83 menjelaskan bahawa mungkin disebabkan kesibukan menyambut bulan Ramadan dan bermulanya dengan sesi persekolahan yang baru telah membuatkan mereka cuai dan alpa sehingga terlupa akan keberadaan anak mereka.
“Moga menjadi pengajaran buat semua termasuk diri sendiri. Biasalah awal persekolahan dan awal Ramadan. Semua kelam kabut mengurus,” ujarnya.
Sumber : Sinar Harian