Seorang lelaki telah melanggar salah seorang dari tiga penyamun ketika sedang cuba disamun semalam. Disebabkan ketakutan yang teramat, lelaki tersebut telah bertindak memecut kenderaan miliknya dan terlanggar salah seorang ketika sedang cuba melarikan diri.
Kejadian terjadi di hadapan sebuah farmasi di Kuala Kedah apabila lelaki tersebut sedang bersiap sedia untuk keluar dari tempat parkir. Malang tidak berbau apabila tiga suspek tersebut ingin melakukan percubaan menyamun dengan menaiki dua motosikal sekitar jam 6.39 pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, suspek kemudian bertindak dengan memukul cermin hadapan kereta lelaki terbabit sehingga pecah menggunakan sebatang objek.
“Disebabkan takut, pengadu memecut keretanya dan sewaktu cuba melepaskan diri dia terlanggar salah sebuah motosikal suspek yang cuba menghalang di bahagian hadapan.
“Suspek berusia 29 tahun dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua rakannya melarikan diri,” katanya.
Ahmad Shukri berkata, usaha mengesan saksi dan suspek yang melarikan diri giat dijalankan.
“Untuk tujuan penyiasatan, dua kertas siasatan dibuka serentak iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap pengadu dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan terhadap dua suspek yang masih bebas,” katanya.
Sumber : Berita Harian