Sempena Program KL Car Free Morning, smart Malaysia telah membawa model EV kedua mereka iaitu smart #3 kepada umum dalam pelekat penyamaran, tanpa sebarang perincian rasmi.
Sama seperti smart #1 yang telah dilancarkan ke pasaran Malaysia pada akhir tahun lalu, smart #3 ini telah direka oleh Mercedes-Benz dan kemudian dibina oleh Geely menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA).
Berdasarkan perincian yang telah didedahkan, smart #3 ini berukuran 4,440 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,600 mm tinggi bersama jarak roda sejauh 2,785 mm. Berbanding dengan smart #1, model ini hadir dengan saiz lebih besar dan rekaan seperti coupe pada SUV ini menyerlahkan lagi rekaan sportynya dan lebih agresif.
Selain itu, unit rangkaian kuasa yang ditawarkan adalah sama seperti smart #1 dimana versi asas hanya memacu roda belakang dengan motor tunggal 272 PS (268 hp atau 200 kW), manakala varian paling berkuasa dibekalkan dengan dua motor elektrik membolehkan ia memacu semua roda, bersama bekalan kuasa penuh berjumlah 428 PS (422 hp atau 315 kW). Sejauh 440 km dijangka mampu bergerak dalam kitaran WLTP.
Menurut smart Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan, pihaknya bangga berdiri sebagai penyokong utama inisiatif Program KL Car Free Morning berkenaan dengan mempamerkan kenderaan smart #1 dan #3 ketika ia berlangsung, yang turut membuktikan komitmen smart dalam mempromosikan kehidupan bandar lestari.
Masih tiada perincian rasmi dari smart Malaysia sama ada model smart #3 bakal dilancarkan ke pasaran Malaysia atau tidak dan jangkaan sebenar tarikh pelancarannya. Jika rasmi dilancarkan, ada yang berminat?
Sumber : Paultan