Nahas Tiga Lori di Lebuhraya Plus, Punca Tayar Pecah

Tiga buah lori telah kemalangan di Kilometer (KM) 367 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, laluan Sungkai – Slim River pada pagi ini dan telah mengakibatkan salah seorang dari pemandunya maut.

Kejadian terjadi sekitar jam 5.45 pagi tadi dan pemandu yang memandu lori muatan telur ayam, dikenali sebagai Hoo Yoon Wah, telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Mohd Hasni Mohd Nasir, siasatan awal mendapati lori yang membawa muatan buah telah dipandu oleh lelaki berusia 36 tahun dari arah Bukit Kayu Hitam, Kedah menuju ke Selayang, Selangor.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, dia yang memandu di lorong kanan telah mengalami tayar kiri pecah menyebabkan terlanggar lori kedua yang dipandu lelaki berusia 38 tahun di lorong kiri.

“Kedua-dua lori berkenaan telah hilang kawalan dan terbabas menyebabkan lori buah berkenaan melintang di atas jalan dan menutup semua lorong,” katanya.

Menurut beliau, akibat tidak sempat mengelak, kenderaan yang dipandu mangsa telah terlanggar lori terbabit di tengah jalan.

“Akibat kemalangan ini mangsa tersepit dan mengalami kecederaan di bahagian kaki sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Slim River untuk dibedah siasat manakala seorang pemandu berusia 38 tahun dilaporkan cedera parah di bawa mendapatkan rawatan,” katanya.

Kesesakan sepanjang dua kilometer di Lebuhraya telah terjadi dan sebuah lorong telah dibuka untuk melancarkan aliran trafik.

 

Sumber : Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD