Seorang ibu hamil telah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 36.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara. Lebih menyayat hati apabila kandungannya tidak dapat diselamatkan.
Kemalangan terjadi sekitar jam 11 malam pada hari Rabu dan mangsa yang dikenali sebagai Nurakma Mohd Kalimuddin, 37, seorang kakitangan Media Prima Berhad, bersama suami dan anaknya di dalam kenderaan jenis Honda BR-V serta sebuah lori jenis Hino dan Honda Accord telah terlibat dalam kemalangan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tan Seng Lee, kemalangan tersebut melibatkan enam mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, wajah dan badan.
“Sebuah lori dari arah utara-selatan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan di tengah jalan lalu memasuki ke arah bertentangan.
“Kereta jenis Honda BR-V dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian hadapan lori,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Honda Accord yang datang dari arah utara juga gagal mengelak dan terus merempuh lori berkenaan, tambahnya.
Semasa mendapat rawatan di HTSMTI, kandungan isterinya masih dalam keadaan baik apabila pihak polis bertanyakan status keadaan kandungan mangsa.
“Namun semasa membuat rawatan seterusnya di HSA didapati kandungannya bermasalah dan dinasihatkan oleh doktor untuk menggugurkan kandungan,” ujar beliau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987.
Sumber : Sinar Harian