Sebuah bas persiaran yang membawa pelancong warga China telah terbalik dan terbabas pada Sabtu lalu di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands sehingga meragut nyawa 2 pelancong warga China. Setelah diperiksa dan disiasat, pemandu tersebut tiada lesen memandu dan mempunyai 27 rekod saman lampau.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, kemalangan terjadi ketika bas persiaran tersebut sedang dalam perjalanan untuk turun ke bawah dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur membawa 21 pelancong dari China.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, bas terbabit terbabas melanggar tembok tengah pembahagi jalan sebelum terbalik. Akibat kejadian, dua penumpang warga China, Wang Shuhong, 49, dan Zhang Ping, 58 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Penumpang yang lain berjaya dibawa keluar dari bas dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Pemandu bas yang berusia 32 tahun itu dilaporkan mengalami cedera ringan.
“Seramai 13 mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan enam lagi menerima rawatan di Hospital Bentong,” katanya.
Pemandu bas terbabit telah direman selama empat hari bermula semalam mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang info diminta tampil bagi membantu siasatan.
Sumber : Sinar Harian