NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Had Laju Dikurangkan kepada 30km/j di Sekolah, Pemasangan CCTV Dapat Cegah Kemalangan

Had Laju Dikurangkan kepada 30km/j di Sekolah, Pemasangan CCTV Dapat Cegah Kemalangan

Setakat 31 Mei lalu, sebanyak 267,013 nahas jalan raya telah direkodkan di mana seramai 2,742 kematian daripada 2,550 kes kemalangan maut yang berlaku.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, peningkatan sebanyak 8.39 peratus berbanding tempoh yang sama dapat dilihat untuk jumlah nahas jalan raya pada tahun ini.

“Penyumbang terbesar terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal sebanyak 1,908 kematian diikuti pemandu dan penumpang kereta (436 kematian) sementara pejalan kaki (161 kematian),” katanya.

Turut hadir bersama di Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) adalah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Lingg.

Sementara itu, ahli-ahli mesyuarat telah bersetuju untuk menurunkan had laju yang telah ditetapkan di sekolah iaitu dari 40 km/j kepada 30 km/j untuk mengatasi masalah kesesakan dan keselamatan jalan raya.

“Secara purata sebanyak 67 kematian direkodkan setiap tahun akibat kemalangan di kawasan sekolah. Saya juga berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia mewujudkan kolaborasi antara sekolah dan PIBG untuk membina bonggol bagi mengurangkan kelajuan kenderaan supaya pelaksanaan 30 km/j lebih berkesan,” katanya.

Selain itu, sekitar 20,000 kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang di sekitar bandar dan ibu kota bagi memantau aliran trafik dan keselamatan di bandar.

“Sehingga kini, 5,000 unit CCTV telah dipasang di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur bagi memantau lalu lintas, pemantauan bencana banjir dan tumpahan konkrit.

“Saya juga dimaklumkan bahawa sebahagian dari kamera tersebut turut digunakan untuk pemantauan jenayah serta kawalan berkonsepkan bandar selamat oleh PDRM,” katanya.

 

Sumber : Kosmo!

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy