Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangkakan pelaksanaan e-Invois yang akan bermula pada 1 Ogos 2024 tidak akan memberi kesan kepada jualan kenderaan pada tahun ini atau jumlah keseluruhan industri (TIV).
“Saya sudah berbincang dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan kami berpendapat tiada impak ke atas pelaksanaan e-invois. Cuma mungkin kegusaran daripada syarikat kecil memandang ia akan membabitkan sistem yang perlu mereka ada,” kata menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Jika kita melihat kepada garis masa, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan kita hanya akan bermula dengan syarikat yang memiliki pendapatan atau hasil melebihi RM100 juta,” tambah beliau.
Kebanyakan syarikat pengedar kereta tidak memperoleh pendapatan melebihi jumlah itu, jadi mereka yang tidak mencapai tidak akan terkesan dengan pelaksanaan e-Invois ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengedar yang masih lagi memberikan pinjaman penuh untuk kereta dan perkara ini akan dapat dicegah apabila e-Invois dilaksanakan.
Dengan adanya sistem e-Invois ini, transaksi sesuatu pembelian itu akan jadi lebih tepat dan telus di mana jumlah yang tertulis di dalam invois akan sama dengan yang lain dan sekaligus dapat mencegah amalan pinjaman penuh ketika membeli kereta.
Sebagai contoh, jika pembeli mengambil pinjaman penuh dan tidak membayar wang pendahuluan sebanyak 10%, wakil jualan akan menaikkan harga di dalam invois kepada harga yang sama atau melebihi harga sebenar kenderaan tersebut supaya pihak bank meluluskan pinjaman tersebut.
Kemudian, wakil jualan akan menghantar invois tersebut kepada kerajaan dengan jumlah yang berbeza. Dengan pelaksanaan sistem e-Invois ini, penyelewengan informasi dapat dibendung kerana semua invois perlu dihantar ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan tidak boleh sesuka hati menukar jumlah harga di dalam invois tersebut.
Sumber : Berita Harian | Paultan