Selain jumlah jualan kenderaan baharu yang telah didedahkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) semalam, kedudukan 5 jenama kereta teratas di Malaysia berdasarkan jumlah jualan pada separuh pertama 2024 turut dikongsikan.
Kedudukan pertama dan kedua masih lagi dikekalkan dengan kukuh oleh dua jenama pengeluar automotif negara iaitu Perodua dan Proton. Menurut data MAA, Perodua berjaya menjual sebanyak 169,849 unit manakala Proton pula sebanyak 72,088 unit. Jika dijumlahkan, ia mencecah 241,937 unit dari dua jenama nasional tersebut.
Berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lalu, Perodua hanya berjaya menjual sebanyak 144,690 unit dan mencatat perkongsian pasaran sebanyak 39.5% untuk tahun 2023. Dengan jumlah jualan yang meningkat dari Perodua itu, perkongsian pasaran bagi jenama ini telah mencatatkan kenaikan kepada 43.5%.
Beralih kepada Proton, mereka menunjukkan sedikit penurunan walaupun masih kekal berada di kedudukan yang ke-2. Jumlah jualan pada separuh pertama 2023 merekodkan sebanyak 76,012 unit berbanding dengan jumlah pada tahun ini iaitu 72,088 unit. Oleh itu, perkongsian pasaran juga menunjukkan sedikit penurunan iaitu daripada 20.8% pada tahun 2023 kepada 18.5% untuk tahun 2024.
Tempat ketiga telah diraih oleh Toyota dengan jumlah jualan separuh pertama 2024 sebanyak 45,962 unit. Toyota juga menunjukkan sedikit penurunan bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu 48,145 unit dan perkongsian pasaran sebanyak 13.1% telah menurun kepada 11.8%.
Ia seterusnya disambung oleh Honda di kedudukan yang ke-4 dengan jumlah jualan sebanyak 39,226 unit. Honda berjaya mencatatkan kenaikan pada jumlah jualan dan perkongsian pasaran mereka berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu 33,732 unit dan dari 9.2% kepada 10.1%.
Mazda berada di tempat ke-5 dengan jumlah jualannya mencecah 8,389 unit dan perkongsian pasaran sebanyak 2.1% manakala di tempat ke-6 adalah Mitsubishi dengan rekod sebanyak 8,265 unit dan perkongsian pasaran juga sama iaitu 2.1%.
Sumber : Paultan