NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Tiga Penjenayah Pandu Lawan Arus, Akhirnya Tumpas Selepas Dikejar Polis 20 KM

Tiga Penjenayah Pandu Lawan Arus, Akhirnya Tumpas Selepas Dikejar Polis 20 KM

Tiga penjenayah didapati memandu secara merbahaya dan lawan arus selepas dikejar oleh sebuah kereta polis sekitar jam 4 pagi, Rabu tadi.

Seperti di dalam filem aksi, polis turut terpaksa mengeluarkan 3 das tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki mereka iaitu kenderaan jenis Toyota Harrier sebelum berjaya memberkas ketiga-tiga penjenayah tersebut selepas mengejar sepanjang 20 km.

Kesemua suspek merupakan lelaki warga tempatan dan berusia 34, 37 dan 47 tahun dan dipercayai terlibat dalam sindiket curi kenderaan dan menyasarkan kereta pacuan empat roda.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, seorang pegawai dan dua anggota dari Balai Polis Kampung Rapat sedang membuat rondaan di Taman Soon Choon dan mengesan kenderaan suspek berada dalam keadaan yang mencurigakan.

Ketika menghampiri untuk membuat pemeriksaan, kenderaan suspek memecut laju untuk melarikan diri dan telah masuk ke Lebuhraya melalui Simpang Pulai.

“Apabila tiba di susur keluar tol Gopeng, suspek bertindak agresif merempuh palang dan melanggar kereta polis dengan mengundurkan kenderaan.

“Akibat kejadian itu, polis bertindak melepaskan satu tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan SUV suspek, namun mereka dapat melarikan diri ke arah Gopeng dan Batu Gajah,” katanya.

Suspek kemudiannya memandu secara merbahaya dan melawan arus di persimpangan lampu isyarat Kampung Pisang hingga ke Jalan Bemban dan kemudiannya bertindak dengan menghimpit kereta pihak polis.

Untuk melindungi diri, polis melepaskan lagi 2 das tembakan ke arah kenderaan suspek dan tayar kenderaan suspek telah pecah lalu terbabas berhampiran persimpangan jejambat Siputeh.

“Ketika tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan antara polis dan suspek. Bagaimanapun dengan bantuan rondaan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, tangkapan dan rampasan ke atas suspek berjaya dilakukan. Kejadian juga tidak melibatkan sebarang kecederaan ke atas anggota polis mahupun orang awam,” katanya.

Hasil tangkapan pihak polis menemui pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk mencuri kenderaan seperti alat elektronik yang boleh membuka pintu.

Siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai 40 rekod lampau termasuk kesalahan jenayah di beberapa negeri lain. Pihak polis juga telah mengesahkan bahawa SUV yang mereka gunakan tersebut adalah kenderaan curi bersabit kes di Puchong, Selangor.

“Suspek telah direman selama empat hari bagi siasatan lanjut kes termasuk cubaan membunuh,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy