Seramai 18,799 Pengguna Jalan Raya di Selangor Tiada Lesen – Alasan Tiada Masa & Sibuk

Menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan pada tahun ini, seramai 18,799 pengguna jalan raya di Selangor didapati tidak memiliki lesen memandu. Rata-rata yang tidak memiliki lesen ini berusia di antara 17 hingga 30 tahun. Alasan yang diberikan adalah tiada masa dan sibuk dengan pekerjaan dan belajar sehingga lupa untuk mengambil lesen.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan, penunggang motosikal mencatat jumlah yang tertinggi bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu iaitu seramai 12,900 individu berdasarkan statistik dalam tempoh separuh pertama tahun 2024.

Seterusnya, ia diikuti dengan pemandu lori iaitu seramai 4,927 individu yang ditangkap tidak memiliki lesen yang sah untuk memandu. Selain itu, turut dicatatkan ialah pemandu kereta iaitu seramai 913 orang serta pemandu bas seramai 59 individu. Tambah beliau, kesalahan tidak memiliki lesen didapati meningkat selama 2 tahun berturut-turut bermula dari tahun 2022.

“Statistik pada tahun 2022 merekodkan seramai 30,692 individu tidak memiliki lesen memandu, manakala tahun 2023 seramai 37,598 individu didapati melakukan kesalahan terbabit.”

“Ia merupakan sesuatu yang membimbangkan apabila kita lihat jumlah angka dicatatkan ini, jelas menunjukkan bahawa betapa tingginya bilangan mereka yang tiada lesen namun bebas memandu atau menunggang di jalan raya,” katanya.

“Alasan yang diberikan mereka yang ditahan atas kesalahan ini ialah kononnya tiada masa merupakan sesuatu yang secara tuntasnya tidak dapat diterima.

“Tidak memiliki lesen secara langsung tidak tahu berkaitan peraturan jalan raya dan boleh dikatakan ia merupakan salah satu daripada punca berlakunya kemalangan disebabkan tiada asas berkaitan peraturan lalu lintas,” katanya.

Mana-mana pengguna yang didapati memandu tanpa lesen akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana denda bermula dari RM300 sehingga RM3,000, penjara 3 bulan atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

“Tiada lesen memandu merupakan antara sembilan kesalahan utama selain memandu melebihi had laju, gagal patuh lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan memandu kenderaan berat di lorong laju,” ujarnya.

 

Sumber : Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD