Seorang wanita warga emas maut manakala anak lelakinya yang sedang memandu cedera parah setelah terlibat dalam kemalangan bersama dengan sebuah lori dan treler di Kilometer 5 Jalan Jerantut-Temerloh dekat Kampung Megat Segama, Temerloh, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, mangsa berusia 64 tahun dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak lelakinya, 30, cedera di dada dan patah di bahagian paha. Pemandu lori serta pemandu treler tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan sekitar jam 4.20 petang itu.
Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton Wira yang dinaiki dua beranak itu sedang dalam perjalanan pulang menghala ke Kampung Raja Songsang dari arah Temerloh.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai memperlahankan kenderaan untuk masuk ke simpang di sebelah kanan.
“Pada masa sama sebuah lori jenis Nissan dari arah yang sama dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta dinaiki mangsa hingga termasuk ke laluan bertentangan dan dilanggar treler jenis Volvo membawa muatan tong gas,” katanya.
Mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dilaporkan cedera parah dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu kereta yang parah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) Temerloh untuk rawatan lanjut. Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?