Berikutan dengan pengumuman Program Peralihan Khas Lesen B penuh oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, baru-baru ini, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya UPM, Profesor Law Teik Hua, memberi pandangan bahawa pelaksanaan tersebut mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.
Hal ini kerana, peningkatan pemilikan motosikal berkuasa tinggi akan meningkat di jalan raya dan ia bakal menyumbang kepada peningkatan lebih 65% kematian di jalan raya setiap tahun.
Selain itu, inisiatif tersebut juga akan menambahkan lagi kesesakan di jalan raya dan mengubah fokus utama negara iaitu menggalakkan penggunaan pengangkutan awam pada orang ramai.
“Motosikal tidak mendatangkan banyak kelebihan sebab isu bahaya (di jalan raya). Tambahan lagi dengan kapasiti kecil dan hanya mempunyai kelebihan mencelah ketika terperangkap di lalu lintas.
“Sepatutnya kita mesti cari satu jalan mengurangkan pemilikan persendirian (private ownership) kenderaan seperti kereta dan bas dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Tambah beliau lagi, selain kadar kematian dan keselamatan jalan raya yang perlu diutamakan, kerajaan juga perlu menilai dan kaji setiap inci keputusan yang dibuat untuk mengurangkan kemalangan jalan raya berlaku.
Dengan penambahan lebih banyak motosikal berkuasa tinggi, ia jelas akan menambah beban sedia ada di jalan raya dan menganggu kitaran ekosistem yang lebih selamat untuk semua pengguna, katanya.
“Kalau kita nak tengok kesesakan lalu lintas, dengan adanya lebih banyak motosikal berkuasa tinggi, ia tidak akan membantu.
“Isu yang lebih besar ialah kita akan nampak masalah keselamatan, pengguna jalan raya kebanyakannya ada masalah untuk berinteraksi dengan motosikal berkuasa tinggi di atas jalan raya,” tambahnya lagi.
Sumber : Astro Awani