NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Pindaan Akta 333: Tetapkan Hukuman Lebih Tegas untuk Pemandu Bawah Pengaruh Dadah

Pindaan Akta 333: Tetapkan Hukuman Lebih Tegas untuk Pemandu Bawah Pengaruh Dadah

Kerajaan bercadang untuk mengenakan tindakan tegas kepada pemandu di bawah pengaruh dadah walaupun tidak menyebabkan kemalangan dengan meminda Seksyen 45A di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, selepas dibincang bersama pegawai kementerian dan jabatan berkaitan, cadangan tersebut akan diusulkan dalam Persidangan Ketiga Dewan Rakyat pada Oktober ini.

Undang-undang sedia ada bagi pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah didapati kurang memuaskan seperti kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol iaitu hukuman maksimum denda RM10,000 dan penjara dua tahun di bawah seksyen yang sama.

“Pemandu yang ambil dadah, kita hanya boleh dakwa sekiranya mereka mengakibatkan kemalangan jalan raya sahaja. Manakala pemandu yang tidak mengakibatkan kemalangan, hanya dikenakan penggantungan lesen dan tidak boleh didakwa,” katanya.

Ujar Loke, tidak wajar sama sekali mahu tunggu kemalangan terjadi baru akan dikenakan tindakan tegas terhadap pemandu tersebut. Pemandu yang didakwa haruslah disenarai hitamkan dan digantung lesennya daripada sistem jalan raya.

Ini susulan dengan 21 pemandu positif dadah ketika Operasi Khas Kenderaan Perdagangan yang bermula 1 Ogos lalu selepas hasil pemeriksaan saringan ujian air kencing terhadap 276 pemandu.

“Ini bermakna dalam setiap 13 pemandu, terdapat seorang yang berada di bawah pengaruh dadah apabila memandu di jalan raya. Ini adalah keadaan yang amat membimbangkan,” katanya.

 

Sumber : Bernama

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy