passionately driven

Kanak-Kanak 12 Tahun Pandu Kereta: Bapa Didakwa Cuai, Dedah Anak pada Kecederaan

Susulan dengan sebuah video tular seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu minggu lepas, Mahkamah Sesyen hari ini telah mendakwa bapa kepada kanak-kanak tersebut, seorang penjual karpet, atas tuduhan mengabaikan dan cuai yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal kepada anak lelakinya.

Walau bagaimanapun, tertuduh yang merupakan seorang warga Pakistan yang memegang kad pemastautin tetap mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman selepas pertuduhan dibacakan.

Tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, iaitu denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mendekati saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis setiap bulan telah ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin.

Walau bagaimanapun, peguam Nabilla Rosli yang mewakili tertuduh membantah jaminan tinggi tersebut atas sebab anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga.

“Anak guam adalah warga pakistan yang berstatus PR (pemastautin tetap) Malaysia mempunyai lima anak berusia enam hingga 19 tahun yang semuanya masih sekolah.

“Isteri yang juga warga Malaysia adalah suri rumah dan anak guam peniaga karpet kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM3,000,” katanya.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan. Sebutan semula kes adalah pada 4 September ini.

 

Sumber : Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD