Seorang pemandu e-hailing maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh tembok konkrit pembahagi jalan di Kilometer (KM) 15.8 Jalan Genting Highlands, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, mangsa dikenali sebagai Hon Hoock Chee, 68, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya lagi, kemalangan terjadi sekitar jam 5.30 petang dan terdapat seorang lagi penumpang wanita warganegara tempatan berusia 70 tahun di dalam kenderaan. Walau bagaimanapun, penumpang tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu oleh seorang lelaki dari Genting Highlands menghala ke Klang. Apabila sampai di lokasi, pemandu gagal mengawal kenderaan lalu masuk masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tembok konkrit pembahagi jalan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Rakaman video kemalangan tersebut turut tular di media sosial.
Sumber : Sinar Harian